‘Emak, Cikgu Aliah tu baik la mak… semua orang suka kat dia’. Kata-kata itu keluarnya dari mulut seorang murid Tahun 3 sekolah rendah. Apa istimewanya Cikgu Aliah? Dia sama sahaja dengan guru-guru pelatih lain yang sama-sama menjalani praktikum di sekolah berkenaan.
Cikgu Aliah apabila menjejakkan kakinya di sekolah, beliau tidak pernah bermasam muka. Jalannya penuh sopan namun bergerak aktif sepanjang berada di sekolah. Tingkahlaku inilah yang membuatkan anak muridnya menyukai beliau walaupun dia tidak banyak berinteraksi dengan murid-muridnya di luar bilik darjah.
Masa terluangnya digunakan untuk persediaan mengajar pada keesokan harinya. Namun kesempatan berinteraksi dalam kelas bersama anak-anak muridnya digunakan sepenuhnya dan dengan penuh rasa tanggungjawab.
Tingkahlaku inilah yang disebut sebagai komunikasi bukan lisan (non verbal communication) yang dipamerkan oleh Cikgu Aliah.
Adakah anda mempunyai ciri-ciri komunikasi bukan lisan yang berkesan? Antara komunikasi bukan lisan yang berkesan ialah : -
- Beri perhatian apabila murid anda ingin menyatakan sesuatu kepada anda
- Berdepan dengannya semasa dia bercakap
- Sesekali pandang matanya
- Beri anggukan sesekali menandakan anda mendengarnya
- Senyum, jangan nampakkan kegelisahan anda walaupun anda ada urusan lain
Inilah yang dikatakan murid ‘jatuh cinta’ dengan gurunya pada pandangan pertama hasil daripada komunikasi bukan lisan yang berkesan yang dipamerkan oleh gurunya.
Jadilah pandangan yang pertama itu (first impression) pandangan yang boleh menarik anak didik kita untuk terus ‘meminati kita’ dan seterusnya meminati mata pelajaran yang diikuti.
Nawaitu kita tidak lain tidak bukan hanyalah ingin melihat anak didik kita berjaya dan menjadi manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan ! -unit kaunseling-
Selamat mencuba pendidik-pendidik sekalian :)