Soalan:
Saya mempunyai bayi lelaki berusia tiga bulan dan menyusu secara eksklusif. Sejak lahir, saya kerap diberitahu oleh bidan supaya memberi bayi minum air suam 2-3 kali sehari supaya baki susu (kulat susu) di permukaan lidah bayi tidak terjadi. Melalui pembacaan, saya tahu bayi berusia sebelum enam bulan tidak perlu diberi makanan atau minuman selain susu ibu. Kini, lapisan baki susu di permukaan lidah semakin tebal tetapi tidaklah sampai mengurangkan selera bayi menyusu. Saya membersihkan permukaan lidah dengan kain kasa yang dicelup air suam tetapi agak susah kerana bayi mudah bosan dan meluak seperti tercekik dan mahu muntah. Ada kawan mengesyorkan menggunakan ubat anti kulat ‘daktarin’ dan membiarkan sekurang-kurangnya 30 minit supaya baki susu ini larut, tetapi ia agak mustahil kerana bayi akan meminta susu bila-bila masa. Saya musykil apa yang perlu dilakukan. Adakah baki susu ini berbahaya kepada bayi saya? Berapa kali saya perlu menyapu daktarin? Adakah baki susu ini akan hilang sendiri apabila bayi semakin membesar?
Jawapan:
Bayi yang disusukan dengan susu badan secara eksklusif selalunya tidak perlu diberi air. Ini adalah kerana susu badan telah mengandungi banyak air. Bayi yang diberi susu badan selalunya susah untuk dijangkiti jangkitan kulat pada mulut atau lidah. Namun begitu, jika susu tersebut diberikan melalui botol, maka risikonya memang ada. Jangkitan kulat dalam mulut selalunya susah untuk hilang jika dicuci dengan air dan kain. Ubat 'antifungal’ seperti yang disebutkan iaitu daktarin diperlukan untuk memastikan lapisan putih tersebut betul-betul hilang. Daktarin ini boleh disapu pada bahagian dalam mulut sebanyak 2 - 3 kali sehari dan pengunaannya boleh dihentikan apabila selaput putih itu telah hilang. Apabila bayi membesar, selaput putih ini selalunya sudah jarang berlaku dan ia akan hilang.
No comments:
Post a Comment