Followers

Thursday, November 8, 2012

Perkongsian Motivasi : Diketepikan Sahabat Sebab gemuk


SAYA sering diketepikan oleh rakan sebaya kerana mempunyai susuk badan berisi dan mudah berpeluh. Malah, apabila keluar hujung minggu, rakan sering mengelak memaklumkan pada saya.

Apabila saya cadang ingin keluar bersama, mereka akan memberi alasan sibuk. Mulanya saya percaya dengan alasan diberi tetapi kebelakangan ini kerap terserempak mereka keluar bersama menyebabkan saya percaya disisih. 

Saya berasa seperti dipermain-mainkan rakan. Saya menangis dan mengadu pada abang saya tindakan rakan seakan-akan mengetepikan saya. Abang melarang saya daripada bergaul dengan rakan. Bagaimanapun, saya tidak sanggup berpisah dengan teman saya disebabkan kami sudah bersama sejak sekolah rendah lagi. Saya buntu Dang Setia, apa yang perlu saya lakukan.

Aira

Subang Jaya, Selangor. 

Masalah diketepikan oleh sahabat hanya disebabkan faktor penampilan saudari tidak menarik amatlah tidak wajar. Tambahan pula mereka sudah mengenali saudari seawal usia tujuh tahun dan seharusnya mampu melihat ‘kecantikan’ daripada sudut lain.

Benarlah kata orang, rakan senang mudah dicari, rakan susah sukar ditemui dalam erti kata lain teman sejati sanggup menerima seadanya dan berada di sisi tatkala dalam kesusahan sekalipun.

Namun, ketika ini saudari kelihatan masih menyayangi persahabatan bersama mereka. Seelok-eloknya, guna pendekatan lebih mesra dengan berhadapan rakan.

Pada masa sama pujuk diri supaya tidak membuat spekulasi membuta-tuli mengenai situasi berkenaan. Malah jangan mencipta ilusi negatif dengan mengatakan atas faktor kelebihan fizikal menyebabkan rakan menjauhkan diri daripada saudari.

Selain itu, saudari juga harus bijak mengatur bicara dengan menggunakan ayat sesuai agar tidak berlaku salah faham yang mampu mengundang perasaan tidak selesa antara saudari dan rakan.

Akhir sekali, reda dan kekal positif apa juga bentuk maklum balas diberikan rakan dan nyatakan betapa saudari menghargai mereka sebagai sahabat sepanjang mengenali mereka. sumber

No comments:

Post a Comment