Followers

Friday, November 25, 2011

Takut Tak Temu Jodoh



SEPERTI wanita lain, saya inginkan wajah idaman dan setiap kali melihat gambar atau rupa wanita cantik, saya melihat ketidakadilan.
Terasa tidak adil dunia ini kerana ada wanita yang dilahirkan cantik sedangkan saya dilahirkan dengan wajah yang hodoh. Hidung penyek, mata sepet, muka tidak licin dan badan gemuk. 
Pernah ada memanggil saya dengan nama atau gelaran tidak elok. Apakah orang hodoh saja yang selalu menerima gelaran dan panggilan tidak elok? Bukankah mereka layak hidup bahagia sama seperti orang lain.

Rupa wajah pelakon dan penyanyi sering kali menjadi idaman saya. Ada juga saya lihat wanita yang berusia, tetapi wajah mereka nampak muda. Begitu juga suami tua, tetapi isterinya muda.



Dunia seakan-akan sudah terbalik. Mana logiknya. Saya cemburu sedangkan saya yang masih muda ini tetap hodoh.


Saya juga sangat takut kerana beranggapan tiada lelaki yang ingin menjadi suami saya.

Saya trauma dan takut tidak akan mendapat pasangan hidup. Bantulah saya.

RENDAH DIRI
Melaka




TIDAK semua orang mengambil berat terhadap rupa paras orang lain. Setiap orang sibuk dengan urusan hidup mereka sehingga terlupa dengan kehidupan orang lain. Ini termasuk mengambil berat terhadap paras rupa.

Alam kehidupan bersifat berlawanan. Lawan cantik ialah hodoh, lawan baik ialah jahat dan lawan putih ialah hitam.

Mengenai soal ketidakadilan, ia lebih kepada bagaimana adik menerima rupa paras adik. Jika bersyukur atas kurniaan Tuhan, soal ketidakadilan tidak timbul. Malah, adik akan menerima kebahagiaan tanpa mengira rupa paras.

Insan yang baik akan menghargai orang lain seadanya. Gelaran yang tidak elok tetap diterima tanpa mengira siapa orang itu. Hodoh atau tidak ada juga wanita cantik yang menerima gelaran tidak baik.

Mengenai gelaran yang diterima, ia bukan soal orang yang menerima gelaran itu. Ia lebih kepada sikap orang yang memberi gelaran.

Individu yang memberi gelaran tidak baik tidak menghormati apa yang dimiliki orang lain. Ada ahli psikologi melihatnya sebagai masalah dalaman kerana individu ini berasa dirinya hebat dan melihat orang lain sebaliknya.

Mengenai wanita yang makin tua umur makin muda rupa, ia menunjukkan sikap dan mentaliti bagaimana ingin melalui kehidupan dan usia mereka.

Usah cemburu kerana walaupun luaran dan wajahnya nampak cantik, dirinya tetap wanita berusia dengan pelbagai isu-isu tersendiri dialami.

Berbalik kepada lelaki tua hodoh yang mendapat pasangan muda, ia adalah soal pilihan dan jodoh.

Berbalik kepada persoalan adik yang ‘hodoh’, ia bersifat fizikal dan luaran. Untuk mengubah ‘kehodohan’ adik, minda adik boleh membuatkan adik melihat perkara yang seperti diinginkan.

Jika ingin diri cantik, ubah minda untuk menukar rupa paras adik yang ‘hodoh’ kepada cantik. Ia semuanya satu permainan minda. Adik perlu mengubah minda itu. Walaupun, ia memerlukan proses dan masa, jika adik bersungguh-sungguh melakukannya, akan mendapat satu corak pemikiran yang positif.

Sekiranya ada formula yang menyatakan wanita cantik adalah untuk lelaki kacak, tentu formula juga mengatakan wanita yang hodoh adalah untuk lelaki hodoh.

Jika mengikut formula ini, tentu akan ada lelaki hodoh untuk menjadi pasangan hidup adik. Realitinya, soal jodoh adalah ketentuan Tuhan. Ia tidak mengikut sebarang formula. Yakinlah dengan ketentuan Tuhan dan soal jodoh.



p/s : Setiap manusia mempunyai kecantikan tersendiri. Istilah 'cantik' itu berbeza menurut pandangan setiap orang. Allah sudah menetapkan jodoh masing-masing. Jadi, jgn khuatir jika belum bertemu jodoh, pasti akan datang jua. Teruskan berdoa, peace! :)




sumber: http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment