Followers

Thursday, June 14, 2012

Mengatasi Jerawat Dan Parut Jerawat


Apa itu akne?
Akne juga dikenali sebagai jerawat.
Bagaimana akne terjadi?
Akne terjadi apabila:
  • Liang roma tersumbat dengan penebalan kulit di pembukaan liang, minyak daripada bahan kosmetik atau tar
  • Terdapat peningkatan pengeluaran minyak daripada kelenjar minyak (sebaceous gland). Keadaan ini bergantung kepada hormon serta ditentukan oleh gen seseorang
  • Terdapat jangkitan bakteria pada dukta liang roma (disebabkan oleh bakteria Propionebacterium acnes)
Adakah akne disebabkan oleh beberapa makanan tertentu?
Ini merupakan satu mitos. Akne tidak disebabkan oleh makanan berminyak seperti kacang atau coklat. Ia juga bukan disebabkan oleh resdung.
Apakah rupa akne?
Terdapat beberapa jenis akne iaitu :
  • Bintik putih atau bintik hitam (comedones)
  • Bonjol merah yang bernanah atau tidak
  • Bintil (nodul) dan pembentukan cista (berair) yang mungkin mengakibatkan parut
Apakah yang menyebabkan akne semakin teruk?
Antara perkara yang boleh mengakibatkan akne semakin teruk adalah:
  • Perubahan hormon pada remaja perempuan semasa datang haid
  • Alat solek yang berasaskan minyak
  • Gel rambut
  • Memicit jerawat
  • Tekanan hidup
  • Mengandung
  • Ubat seperti streroid, phenytoin (Dilantin) atau Lithium
Siapa yang boleh mendapat akne?
Akne boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
  • Biasanya ia menjadi bertambah teruk di kalangan remaja, terutama remaja lelaki
  • Kita boleh mendapat akne pada bila-bila masa atau usia walaupun melebihi 50 tahun
  • Jika ibu bapa anda mempunyai masalah akne, berkemungkinan besar anda juga boleh mendapatnya.
Apa yang boleh saya lakukan apabila mendapat akne?
Akne yang ringan boleh dirawat dengan ubat yang boleh dibeli dari farmasi. Pada lazimnya adalah memadai untuk menggunakan ubat seperti:
  • Benzoyl peroxide 2.5%, 5%, 10% krim/gel pada waktu malam atau 2 kali sehari
  • 2% - 6% Sulfur dalam losen calamine
Bilakah saya perlu mendapatkan rawatan?
Jika akne bertambah teruk, anda perlu berjumpa dengan doktor. Doktor akan memberi pelbagai jenis krim seperti Retinoids, Azelaic Acid atau antibiotik (Clindamycin). Untuk akne yang sederhana.
  • Seseorang itu perlu makan antibiotik selama 4 hingga 6 bulan
  • Pil perancang keluarga yang tertentu juga berkesan bagi remaja perempuan tetapi bukan untuk remaja lelaki
Bagi akne yang teruk (nodulocystic acne), anda perlu dirujuk kepada pakar kulit untuk mendapatkan rawatan Isotretinoin(Roaccutane). Preskripsi bagi ubat ini hanya boleh diberi oleh Pakar Perunding Kulit (Dermatologist):
  • Isotretinoin mempunyai kesan sampingan yang teruk seperti kecacatan kelahiran. Remaja perempuan tidak boleh mengandung semasa mengambil Isotretinoin dan sehingga sekurang-kurangnya sebulan selepas berhenti mengambil ubat tersebut
  • Mereka juga perlu dipantau untuk kesan-kesan sampingan Isoteretinoin yang lain
Adakah akne boleh meninggalkan parut?
Akne yang ringan sembuh dengan meninggalkan kesan gelap (pigment) yang akan hilang. Pada lazimnya ia tidak akan meninggalkan parut kecuali akne tersebut dicungkil atau dipicit. Akne yang teruk dan nodulocystic akan meninggalkan parut yang cetek di bahagian permukaan dan/atau parut yang dalam di kulit. Terdapat golongan yang cenderung terhadap pembentukan keloid (parut tebal).
Bolehkan parut akne dirawat?
Selepas beberapa bulan, biasanya parut akan hilang sedikit demi sedikit. Beberapa kaedah boleh digunakan untuk merawat parut seperti:
  1. Bagi parut yang cetek, bahan kimia seperti glycolic atau asid trikloroasetik digunakan untuk menggelupaskan permukaan kulit
  2. Teknik laser resurfacing
  3. Bagi parut yang besar, boleh menggunakan suntikan collagen atau implan matrik gelatin
  4. Pembedahan pembetulan (Surgical repair)
  5. Penggunaan kosmetik bagi menutup parut
Cara mencegah akne?
  • Mencuci muka sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan menggunakan pencuci muka yang lembut
  • Mengelak daripada menggunakan kosmetik yang berasaskan minyak. Pilih kosmetik yang non-comedogenis
  • Mengamalkan pemakanan yang sihat. Makanan boleh memberi kesan kepada kulit anda. Ambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Lebihkan minum air kosong
  • Bersenam untuk membaiki perjalanan darah dan nutrien ke kulit
  • Mengurangkan tekanan dan mengamalkan teknik relaksasi

2 comments: