Followers

Wednesday, October 17, 2012

Tips Berkahwin Pada Usia Muda


  • Ikhlaskan niat berkahwin semata-mata kerana Allah, RasulNya, hari Akhirat dan berjuang di JalanNya. Walau berlalu masa berdekad, mengingati Niat yang tulus dari masa ke semasa ini memberi kekuatan dan ketenteraman dalam mengurus keluarga dan menentu hala tuju hidup anak-anak.
  • Sentiasa ingat bahawa cinta datangnya dari hati manusia, sedang hati pula adalah milik Allah swt. Kita tidak dapat mencintai seseorang melainkan jika ALlah kehendaki. Oleh itu sentiasa kita berdoa semoga Allah mengurniakan kita cinta kasih kepadaNya dan RasulNya, kemudian kepada isteri dan anak-anak.
  • Sentiasa meletakkan diri ingin belajar tentang kehidupan. Ini termasuk ingin mengenali lebih lagi tabiat diri kita sebagai seorang suami, tabiat isteri kita sebagai seorang wanita yang sudah tentunya banyak perbezaan dengan diri kita, dunia kehidupan berumahtangga yang hampir merupakan satu organisasi yang diikat dengan kasih sayang dan hormat menghormati, bukan syarikat yang diikat oleh harta dan wang gaji dan lain-lain lagi.

  • Hendaklah pasangan berkongsi visi dan misi, apa yang hendak dicapai atau dituju dalam melayari kehidupan bersama dan bagaimana nak mencapainya. Berapa banyak organisasi dan perjuangan yang ahlinya pecah berantakan lantaran masing-masing di luarnya nampak bertaut, tetapi di dalam diri masing-masing mempunyai kefahaman, keyakinan dan hala tuju yang berbeza. Dalam hal ini, theqah dan taat dari isteri terhadap suami, halatuju dan perjuangannya selaku pemimpin keluarga amat penting. Dalam masa yang sama sikap tanggungjawab suami dan kasihnya kepada isteri dan anak-anak mesti mewarnai setiap sudut dan ruang rumah, hati dan jiwa mereka yang dibawah pimpinannya. Kata Hasan Al-Banna, “Hendaklah suami memastikan isterinya menghormati Fikrahnya”. Fikrah maknanya kefahaman, halatuju dan perjuangan.
  • Menghormati mertua dan saudara mara yang berkait darah dengan mereka. Berusaha merapatkan silaturrahim melalui sumbangan wang bulanan walau sedikit atau simbolik, ziarah menziarahi, berhubung dan bertanya khabar, mengaturkan majlis yang mengumpulkan saudara mara yang dekat atau jauh dan sebagainya. Perkahwinan bukan sahaja diantara dua mempelai, bahkan diantara dua keluarga dan sanak saudara.
  • Suami dan isteri bersepakat dalam menentukan masa depan anak-anak, pakaian, persekolahan, bidang pengajian dan jodoh, seperti mana mereka berdua bersepakat dalam budget mingguan, pembelian hartanah, pembahagian keutamaan dan sebagainya.
  • Meletakkan Tarbiyah Anak-anak sebagai keutamaan yang paling teratas di dalam program keluarga dan budget kewangan. Moga Allah merahmati sepasang suami isteri yang berpada hidup sederhana rumah dan kereta demi membayar yuran anak-anak yang mahal di sekolah-sekolah Islam swasta yang mempunyai sistem dan pendidik yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment