Followers

Thursday, December 22, 2011

Ezlynn & Adam nak berbasikal di Sepanyol

pix_middle

SESUDAH lebih sebulan menempuh gerbang perkahwinan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Hi Hi, Bye Bye, Ezlynn kelihatan semakin berseri-seri di samping suami tersayang yang merangkap pengurusnya, Adam Fahmy Shamsudin.
Pasangan yang sama ceria itu selamat diijabkabulkan di Sime Darby Convention Center, Bukit Kiara, Damansara, Kuala Lumpur pada tarikh cantik, 20.11.2011 lalu. Kini Ezlynn atau nama sebenar, Azline Ariffin, 30, dan Adam, 35, bakal mengikut jejak langkah pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey apabila butik barang kemas terkenal, Rafflesia The Pearl Centre bakal menaja majlis resepsi mereka menerusi satu acara persandingan yang penuh gilang gemilang pada 11 Januari depan.

Apa yang menarik, tajaan mewah itu meliputi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki bagi pasangan mempelai berkenaan selain hiasan dewan serta jamuan enak untuk tetamu yang hadir.
Selain itu, busana pengantin berona emas yang bakal diperagakan penyanyi bersuara merdu itu juga nyata bukan calang-calang kerana ia akan dihiasi mutiara daripada Rafflesia.

Ezlynn akan menyarungkan dua gaun pengantin mewah, sehelai berwarna kuning ‘champagne’ bertatahkan Mutiara Laut Selatan manakala sehelai lagi rona keemasan yang berhiaskan Mutiara Hitam Tahiti dengan setiap butir berharga RM80,000 hingga RM100,000 manakala Adam akan bergaya dengan sut Lord’s Tailor.

Majlis persandingan bertemakan Sepanyol Di Musim Luruh itu akan memilih rona emas, kuning dan coklat. Ia juga akan menampilkan hidangan lazat dengan tema makanan set Mediterranean.

Antara menu hidangan itu ialah Fresh Tiger Prawn Cocktail & Waldorf Salad with Orange Citrus Dressing, Creamy Pumpkin Soup with Salmon Strip, Oven Baked Norwegian Salmon with Seafoof Ragout, Tomato Salsa with Creamy Mashed Potatoes & Sweet Potatoes dan disudahi dengan pemanis mulut, Chocolate Mousse Cake Torte with Raspberry Coulis.

Ia hasil sentuhan Junior Sous Chef Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, Chef Abu Suffian Mohd Lazim.

Pada masa sama, majlis persandingan Ezlynn menjadi lebih bermakna dengan kehadiran kek perkahwinan yang paling mahal dalam sejarah perkahwinan di Malaysia apabila kek itu akan ditaburi mutiara Rafflesia.

Pegawai publisiti Rafflesia, Bill Bora berkata, kek indah itu akan menjadi satu sejarah buat pasangan terbabit.

Selain itu, bintang jelita, Neelofa turut mencipta kasut tumit tinggi yang akan dipakai Ezlynn pada majlis itu nanti.

Walaupun Rafflesia menaja keseluruhan majlis itu, Ezlynn dan pasangannya tetap berbincang untuk mendapatkan kepuasan dan cita rasa mereka sendiri.

“Semoden mana pun majlis ini dan apa pun tema yang dipilih, saya mahu ia dimulakan dengan doa selamat serta kami juga mahu kedua-dua orang tua kami hadir di majlis ini,” kata Ezlynn ketika ditemui pada majlis memperkenalkan menu hidangan itu, malam kelmarin.

Jika pada majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza lima tahun lalu Ezlynn sempat menyumbangkan lagu, dia turut menaruh harapan agar Siti akan turut menyanyi sebagai hadiah buat dirinya dan Adam.

“Selain Siti, saya juga teringin rakan artis seperti Adibah Noor, Anuar Zain dan Alyah menyanyi untuk majlis resepsi saya itu. Dengan tema Sepanyol, kalau boleh biarlah semua lagu Latin disampaikan pada malam itu.

“Saya juga akan menyanyi pada malam itu,” kata Ezlynn sambil membetulkan skirt hitam pendeknya yang kembang itu.

Menariknya, bercakap soal bulan madu, mereka berdua ingin pergi makan angin ke Sepanyol dan mahu berbasikal untuk mengembara ke pekan kecil di negara menarik itu.

Sudah mula intai produk bayi

MENJELASKAN lebih lanjut mengenai kehidupan mereka selepas berumah tangga, Ezlynn berkata, dia masih sibuk dengan pertunjukan pentas.

“Walaupun begitu, kami berdua sempat mencuri masa membeli perkakas rumah dan barang keperluan harian bersama. Selain itu, kami berdua juga sudah mula intai produk keperluan bayi. Entahlah rasa teruja sangat walaupun kami belum ada perancangan untuk menimang anak dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Pasangan sama cantik sama padan ini mengharapkan sepasang cahaya mata untuk menceriakan hidup mereka berdua tetapi tidak kisah kalau dikurniakan cahaya mata yang ramai.

“Perubahan ketara saya selepas berkahwin adalah memasak untuk suami. Saya juga seronok belajar masak daripada ibu mentua beberapa masakan kegemaran Adam seperti ayam masak halia, daging masak kicap dan sambal udang.

“Selain itu, Adam juga tidak cerewet soal makanan sebab dulu dia biasa tinggal di Australia selama empat tahun dan selalu ke luar negara. Dia makan saja apa yang saya masak tanpa mengomel.

“Peliknya, selepas berkahwin Adam sudah boleh makan makanan pedas kerana sebelum ini dia memang tak makan pedas. Mungkin dah berjangkit daripada saya yang suka makan pedas,” ujar Ezlynn.

Bercerita mengenai perjalanan karier seninya, Ezlynn mengucapkan kesyukuran dengan segala limpah rezeki yang dikurniakan Allah SWT walaupun kini sudah memegang status isteri.

Menurut Adam yang turut menjadi pengurus kepada pelakon Juliana Evans, kerja menguruskan karier isteri sendiri tidak seperti pekerjaan lain kerana ia memerlukan komitmen, dedikasi dan tanggungjawab yang lebih.

Ezlynn akui sangat tenang dan yakin dengan masa depannya diuruskan suami sendiri kerana ia dapat mengurangkan risiko pengurus sentiasa bertukar ganti dan tidak kekal lama yang kerap berlaku di kalangan artis masa kini.

“Selain itu, kelebihan yang kami peroleh ialah kami sentiasa dapat bersama sebab saya rasa setiap pasangan berkahwin kalau boleh mahu luangkan masa berkualiti bersama-sama dan ini agak sukar bagi pasangan lain kerana mereka bekerja berasingan,” tambah Ezlynn.

Dalam kesibukan merencana majlis persandingan, Ezlynn tidak lupa kepada bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya.

“Walaupun saya sudah bergelar isteri, karier nyanyian tetap menjadi keutamaan kerana suami sudah memberi keizinan untuk bergerak aktif dalam bidang ini.

“Selain itu, saya turut berminat untuk terus berlakon kerana bidang seni ini tidak terhad kepada bidang nyanyian saja. Oleh itu, saya mahu melebarkan bakat lakonan saya untuk dinilai penonton,” jelas Ezlynn.

Sebelum ini, Ezlynn membintangi filem seperti Zombi Kampung Pisang, Diva Popular, Bilut dan sebuah lagi filem yang akan ditayangkan iaitu Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit.

Single terbaru Ezlynn juga akan menemui peminatnya pada Februari depan berjudul Dusta. Single terbaru ini adalah hadiah buat peminat setianya yang sudah lama ternanti-nanti lagu terbaru daripada penyanyi serba boleh itu.

Ezlynn turut dalam proses mengumpul material untuk album terbaru dan masih lagi mencari lagu daripada komposer yang dapat menghasilkan lagu yang menepati genre dan jiwa penyanyi berambut kerinting itu.

Sementara itu, Ezlynn dan Adam turut bersama-sama berganding bahu membangunkan syarikat Ezlynn Entertainment Sdn Bhd yang menguruskan perjalanan karier lebih ramai artis tempatan dan model komersial.

Syarikat itu mempunyai anak syarikat yang akan menguruskan acara perkahwinan atau bertindak sebagai ‘wedding planner’.


PROFIL

NAMA PENUH: Azline Ariffin
NAMA KOMERSIAL: Ezlynn
UMUR: 30
TARIKH LAHIR: 27 September 1981
ASAL: Ulu Kinta, Perak, dibesarkan di Setapak, Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
PENCAPAIAN: Lagu Hi Hi Bye Bye memenangi Anugerah Juara Lagu 2003 bagi kategori Pop Rock, Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Era dan Anugerah Planet Muzik Pernah mewakili negara ke Shanghai International Music Festival tahun 2004 dan memenangi Anugerah Excellent New Singer.


PROFIL

NAMA PENUH: Adam Fahmy Shamsudin
UMUR: 35
PENDIDIKAN: Ijazah Bachelor of Business (Business & Marketing) dari University of Newcastle, Australia (1999)
PEKERJAAN: Pengarah serta rakan kongsi Ezlynn Entertainment Sdn Bhd dan pengurus artis

pix_topright
sumber

No comments:

Post a Comment