KUALA LUMPUR – Remaja berusia 15 tahun adalah antara 409 orang yang terlibat meminjam wang daripada ceti haram atau ‘Ah Long’, menurut aduan yang diterima Biro Pengaduan Awam MCA tahun ini.
Ketua biro tersebut Datuk Micheal Chong berkata sungguhpun kes peminjam muda ini terpencil namun ia suatu yang serius dan perlu diberi perhatian supaya golongan remaja tidak terjebak dengan sindiket berkenaan.
Beliau kesal dengan sikap peminjam wang daripada Ah Long ini yang sudahpun menyelesaikan hutang tetapi tidak serik kembali meminjam walaupun tahu risikonya dan telah dinasihatkan biro itu untuk tidak meminjam lagi.
Chong juga membidas perbuatan Ah Long yang menjadikan anggota keluarga peminjam sebagai mangsa sekiranya tidak mendapat balik pembayaran daripada peminjam itu sendiri.
Beliau berkata Ah Long seperti itu tidak seharusnya menjadikan keluarga peminjam sebagai sasaran sekiranya si peminjam gagal menjelaskan hutang.
“Kalau hendak menghukum, carilah peminjam itu sendiri dan bukannya menyusahkan keluarga mereka pula,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Chong berkata pihak biro banyak menerima aduan tentang keluarga peminjam dijadikan mangsa dan diburu Ah Long apabila gagal mencari peminjam untuk menagih hutang.
Beliau berkata peminjam biasanya cuba pelbagai helah lari daripada melangsaikan hutang malah ada yang terdesak sehingga cuba merancang penculikan palsu ke atas diri sendiri bagi mendapatkan wang membayar hutang ‘Ah Long’.
“Diharap peminjam tahu bagaimana menangani masalah hutang mereka dan tidak menjadikan ahli keluarga sebagai mangsa,” katanya. -BERNAMA
credit : mynewshub
No comments:
Post a Comment